Meluncur Ombak di Sabah
Aktiviti meluncur ombak di Sabah, Borneo adalah bermusim dan tidak sentiasa tersedia, tetapi apabila musim tengkujuh bermula, kita akan menerima pukulan ombak yang memuaskan.
Aktiviti meluncur ombak di Sabah semakin popular dalam kalangan generasi muda, biarpun keadaan ombak kita tidak menentu ia menjadi destinasi pilihan peluncur yang hanya ingin lari daripada kesesakan.
Apa yang pasti pada sebahagian besar masa jika anda meluncur di sekitar pantai-pantai di Borneo, ia mungkin hanya ada anda, rakan-rakan anda, dan mungkin beberapa penduduk tempatan yang mesra.
Meluncur Ombak di Kudat
Sebahagian besar lokasi meluncur di Sabah berada di kawasan Pantai Barat, dari hujung utara di Kudat sehinggalah ke selatan Kuala Penyu. Luncuran ombak terbaik selalunya terdapat di Tip of Borneo, Kudat. Di sini terdapat beberapa lokasi yang diketahui oleh penduduk tempatan mampu memberikan ombak yang cantik bermula dari beach break, point break dengan dasar terumbu karang, berbatu mahupun dasar berpasir.
Meluncur Ombak di Kota Kinabalu
Lokasi lain yang berpotensi tinggi termasuklah Karambunai, Tuaran, dan Teluk Tanjung Aru yang menjadi tempat tumpuan anak muda tempatan, hanya 10 minit dari pusat bandar Kota Kinabalu. Ombak untuk meluncur juga boleh didapati di perairan Taman Marin Tunku Abdul Rahman yang hanya mengambil masa 15 minit perjalanan menaiki bot.
Perlu diingat bahawa ombak di Sabah tidak boleh dibandingkan dengan Lautan Pasifik mahupun Lautan Hindi.
Jika anda seorang peluncur baharu atau pertengahan, Sabah ialah tempat yang sangat sesuai untuk anda mengasah kemahiran. Ombaknya sangat perlahan dan beralun berbanding Bali atau Australia menjadikannya lebih mudah diurus. Dengan jumlah peluncur yang sedikit di kawasan peluncuran, anda akan mendapat lebih banyak peluang untuk berlatih. Pada musim tertentu, kita akan menerima luncuran ombak yang lebih besar, cukup mencabar buat peluncur pakar.
Bilakah masa terbaik untuk meluncur ombak di Sabah?
Semasa Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut.