Mengapa Sipadan?
Sipadan ialah 10 Tapak Selam Terbaik di Dunia


Tanya kami tentang menyelam di Sipadan
Pulau lautan Sipadan tersenarai dalam 10 destinasi selaman bertaraf dunia yang bukan sahaja menarik kedatangan penyelam, malah juga pakar biologi marin, peminat makro serta jurugambar bawah air dari seluruh dunia.
Pulau Sipadan merupakan sebuah pulau dengan keindahan semula jadi yang luar biasa. Terdapat satu kisah popular yang menyatakan bahawa namanya bermaksud "Pulau Sempadan" dalam bahasa Melayu.
Pulau ini hanya berkeluasan 12 hektar (30 ekar) dan dilitupi oleh hutan hujan yang tidak tercemar.
Kepelbagaian yang menakjubkan dan lambakan hidupan marin yang ditemui di Sipadan menjadikannya salah satu tapak selam terkemuka di dunia, dan pastinya merupakan destinasi selam skuba yang paling terkenal di Malaysia.
Pulau Sipadan sering dipaparkan dalam senarai 10 tapak selam teratas di dunia bersama destinasi lain seperti Galapagos Islands, Raja Ampat, Palau dan lain-lain.
Selam skuba bersama pusaran formasi barracuda seakan puting beliung, big-eye trevally, ribuan ikan silver jack, parrotfish bersaiz gergasi, penyu yang banyak, dan pelbagai lagi seperti pari manta, pari helang, tuna, jerung scalloped hammerhead, jerung paus (whale shark) serta lebih 3000 lagi spesies ikan.
Digelar sebagai "Karya seni yang tidak terusik" oleh Pakar Oseanografi terkenal Jacques Cousteau, kawasan yang amat dilindungi bersama Taman Marin dan tapak selamnya yang menakjubkan ini dipenuhi dengan lebih 3000 spesies ikan, krustasea dan invertebrat. Di mana-mana sahaja anda memandang, anda juga akan melihat beratus-ratus terumbu karang, span, buran dan pelbagai jenis nudibranch.
"Saya pernah melihat tempat lain seperti Sipadan pada 45 tahun yang lalu. Kini kita telah menemui semula sebuah karya seni yang tidak terusik." Mendiang Kapten Jacques-Yves Cousteau, 1988.

6 sebab mengapa anda akan suka menyelam di Pulau Sipadan
Pusaran Barracuda
Salah satu tarikan utama semasa menyelam di Barracuda Point ialah melihat sendiri ribuan ikan Chevron Barracuda dari dekat, yang membentuk pusaran/puting beliung berwarna perak di arus yang kuat, kadangkala berputar di sekeliling anda. Bersaiz dari ½ meter hingga 1 meter panjang, haiwan pemangsa bergigi tajam ini biasanya jinak. Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati apabila menghampirinya dan elakkan daripada memakai peralatan yang berkilat kerana ia boleh menarik perhatian yang menakutkan.
Penyu Karah dan Penyu Hijau
Haiwan gergasi yang jinak ini dianggap sebagai spesies terancam dan sukar untuk ditemui, namun ia merupakan pemandangan biasa di Sipadan hasil daripada projek pemuliharaan penyu tempatan. Anda boleh bertemu sehingga 20 ke 50 ekor penyu dalam satu selaman sahaja. Jika anda mendekatinya dengan berhati-hati, anda mungkin berpeluang untuk berinteraksi dengannya selama beberapa minit. Terdapat pemerhatian yang menyatakan bahawa kemunculan kawanan ikan Jack selalunya menandakan kedatangan penyu laut.
Kawanan Bumphead Parrotfish
Ikan menegak dengan rupa yang melucukan ini mempunyai benjolan unik di kepalanya, memiliki seribu gigi yang tajam bersama satu gigi besar yang menonjol seperti paruh burung nuri. Ikan ini boleh membesar sehingga (1-1.5 meter) 3- 4 kaki panjang dan mencapai berat sehingga 160 paun. Penghuni terumbu karang ini sering dilihat berenang seiring dalam satu barisan panjang sambil mengunyah sehingga 5 tan karang dan alga pada setiap tahun!
Jerung Whitetip
Jerung yang paling biasa ditemui di Sipadan ialah jerung White & Black Tip Reef. Sifatnya biasanya pemalu dan tenang pada waktu siang. Ia jarang bertindak agresif terhadap manusia, dan sering dilihat tidur di sepanjang tebing terumbu karang atau di dasar gua berpasir. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja matahari terbenam, hidupan nokturnal ini akan bertukar menjadi pemangsa ganas yang memburu ikan kecil seperti sardin atau belut dan sotong kurita yang sedang tidur, serta haiwan krustasea seperti ketam dan udang karang.
Kawanan Bigeye Trevally
Kawanan Bigeye Jack boleh dilihat berkerumun di dataran terumbu karang pada kedalaman 10-15 meter (30-45 kaki). Semasa anda berenang di sepanjang dinding dan tebing, anda akan melihat beribu-ribu ikan ini berkumpul lalu membentuk puting beliung perak yang bergerak dengan tenang. Anda juga mungkin akan menemui kelibat Bluefin Jack dan Giant Trevally yang bersendirian atau dalam kumpulan yang lebih kecil di kawasan tersebut.
Longfin Batfish
Spesies yang paling biasa ditemui di sini ialah Longfin Batfish. Ikan yang menawan ini didatangkan dalam pelbagai jenis dan warna. Selalunya ia dilihat berlindung di kawasan taman karang (coral garden) atau kapal karam. Ikan ini juga akan berenang ke arah bot dan mengekori penyelam dari dekat. Ia mungkin kelihatan mesra dan ingin tahu, tetapi sebenarnya ia sedang mencari tempat perlindungan daripada objek besar yang lain atau haiwan pemangsa. Menariknya, ikan ini bukanlah haiwan pemakan rumpai tetapi ia terkenal kerana menyelamatkan terumbu karang yang diancam oleh pertumbuhan rumpai laut.
Penyelam: Hubungi kami untuk menempah Permit Sipadan anda lebih awal! (Diskaun Khas Dalam Talian)
Apakah burung dan haiwan lain yang boleh dilihat di Sipadan?
Apabila sudah terdapat pelbagai keindahan di bawah perairan Sipadan, apa lagi yang lebih menakjubkan? Namun, kawasan di atas permukaan air pulau ini juga tidak kurang hebatnya. Walaupun Sipadan terkenal sebagai utopia buat penyelam, ia juga merupakan syurga bagi pemerhati burung.
Terdapat 47 spesies burung yang berhijrah ke pulau ini bagi memastikan pemerhati burung yang baharu mahupun berpengalaman tidak akan berasa bosan. Walaupun pulau ini kecil, namun ia dipenuhi dengan burung yang berwarna-warni dan cantik yang berterbangan di ruang udaranya. Burung camar, cikalang, pekaka dan helang laut merupakan antara spesies yang mudah dilihat.
Pemerhati burung pastinya teruja untuk mengetahui bahawa Sipadan sering dijadikan persinggahan bagi burung kedidi (sandpiper) dan rapang (plover). Apabila cuaca menjadi sejuk di China, burung punai emas (Nicobar pigeon) yang berhijrah ke arah selatan dari kawasan tersebut akan turut berehat di Sipadan.
Burung megapode besar berwarna coklat boleh dilihat sedang mencari buah-buahan yang gugur atau mencakar tanah mencari cacing dan siput dengan kukunya yang besar. Bunyi panggilannya yang unik kedengaran hampir seperti bunyi kucing.
Kicauan burung pekaka kolar putih (white-collared kingfisher) juga sering kedengaran. Burung ini kelihatan eksotik dengan bulunya yang berwarna terang. Ia mempunyai ekor dan kaki yang pendek tetapi memiliki saiz kepala yang besar berserta paruh yang panjang dan kuat. Sesiapa yang menjenguk ke dalam sarang burung pekaka berkemungkinan besar akan melihat sisa tulang ikan, iaitu salah satu makanan kegemarannya.
Sangat berbeza dengan kicauan burung pekaka, bunyi burung pergam rawa (Pied Imperial pigeon) jauh lebih lembut. Warna burung yang seakan-akan krim ini sangat menonjol kerana bertentangan dengan warna tumbuh-tumbuhan hijau di pulau ini.
Ketam kenari (robber crab), yang sering dipanggil ketam kelapa, berkeliaran di sekitar pulau. Ketam ini merupakan artropoda darat terbesar di dunia. Krustasea gergasi ini memakan kelapa dengan cara mengumpil tempurungnya menggunakan sepitnya yang kuat. Ketam yang memakan kelapa? Ia sememangnya pengalaman yang unik di Sipadan.
Spesies hidupan darat lain yang jarang ditemui di pulau ini ialah siput tempatan dengan reka bentuk cengkerang yang unik dan bengkarung ekor biru (blue-tailed skink). Bengkarung ini boleh dilihat di kawasan yang terdedah pada cahaya matahari sedang menyerap haba untuk mengawal suhu badannya.
Jika anda merancang untuk melawat ke Sipadan untuk menyelam, melihat burung atau sekadar bersantai di bawah sinaran matahari yang hangat seperti seekor bengkarung, anda pasti akan terpegun dengan keindahan yang tidak tercemar baik di kawasan persekitarannya mahupun di dalam air. Sipadan sering tersenarai dalam pelbagai senarai 'yang terbaik' dan amat mudah untuk mengetahui alasannya. Semakin ramai yang menerokainya, Sipadan berkemungkinan besar akan menjadi lebih terkenal. Apabila perkara itu berlaku kelak, cukup melegakan untuk kita ketahui bahawa kepelbagaian karang, ikan, hidupan darat serta burung yang cantik di sana akan sentiasa terpelihara agar semua orang berpeluang untuk terus menikmatinya.