Bodgaya
Pulau Bodgaya ialah pulau terbesar di Taman Marin Tun Sakaran. Ia berukuran 8 kilometer panjang dan 1.5 kilometer lebar dengan keluasan mencecah 796 hektar. Tiga buah pulau iaitu Bodgaya, Bohey Dulang dan Tetagan membentuk separuh bulatan yang pada asalnya sebahagian daripada kawah gunung berapi besar, namun kini menjadi lagun biru firus cantik yang dikelilingi oleh terumbu karang.
Pulau-pulau ini berbukit dengan tiga puncak. Puncak yang tertinggi (455m) dipanggil Gunung Bodgaya. Bodgaya mempunyai kawasan hutan dan kawasan pesisirannya pula dikelilingi hutan paya bakau.
Apa yang boleh dilakukan di Bodgaya?
Jarang sekali pengunjung melawat semata-mata ke Bodgaya. Mereka selalunya menggabungkannya dengan lawatan ke pulau-pulau lain di Taman Marin Tun Sakaran, terutamanya ke Bohey Dulang.
Selam skuba dan snorkeling di Bodgaya
Pengendali selam di Semporna dan pulau-pulau berhampiran ada menawarkan lawatan selam dan snorkeling ke Pulau Bodgaya secara berkala.
Adakah terdapat Bajau Laut?
Kumpulan Gipsi Laut, atau juga dipanggil Bajau Laut yang mendiami Pulau Bohey Dulang dan Bodgaya merupakan daya tarikan budaya bagi para pengunjung. Mereka tidak mempunyai kerakyatan, merupakan golongan nomad, yang secara tradisinya menjalani seluruh kehidupan mereka di atas air. Mereka memasak, tidur, berniaga dan berhibur di dalam bot istimewa mereka yang dipanggil Lepa atau di dalam rumah air yang dibina di atas tiang. Namun, gaya hidup mereka kini semakin terancam di dunia yang sedang berubah dan ramai daripada mereka cuba mencari pekerjaan di tanah besar.
Di mana tempat penginapan?
Tiada rumah penginapan di Bodgaya tetapi terdapat hotel dan resort di pulau-pulau berhampiran seperti Mataking dan Pom Pom Island. Terdapat juga hotel di Semporna. Harap maklum bahawa tiada penginapan pelancong disediakan di Pulau Bodgaya.
Bagaimana untuk pergi ke Bodgaya dengan menaiki bot?
- Dari Semporna ke Bodgaya: peruntukkan masa kira-kira 35 minit menaiki bot laju.
- Dari Pulau Mataking dan Pom Pom: peruntukkan masa kira-kira 20 minit.
- Dari Mabul, anda memerlukan 1 jam setengah untuk sampai ke Bodgaya.
Tanya Mengenai pulau Bodgaya