254

Permit Sipadan terhad setiap hari — pastikan anda mendapat permit menyelam atau snorkeling anda lebih awal.

SIPADAN - Komitmen Alam Sekitar

Atas dasar keprihatinan terhadap alam semula jadi Malaysia, SIPADAN.COM menyokong pihak WWF yang menganjurkan Minggu Marin Mabul.

Sila semak artikel berikut untuk mengetahui tentang tindakan kami.

Minggu Marin Mabul

Mabul Dive Operators Come Closer Together for Good of Environment

Sifat persaingan sengit yang wujud dalam kalangan pemilik resort dan pengendali selam di Pulau Mabul telah diketepikan sepanjang penganjuran Minggu Marin Mabul. Acara pada minggu tersebut menumpukan kepada penjagaan alam sekitar marin. Minggu Marin Mabul ialah satu kesinambungan bagi perayaan Hari Marin Mabul yang telah disambut sejak 10 tahun yang lalu hasil cetusan idea dari Sipadan Water Village Resort.

Pada tahun ini, 10 buah resort dan pengendali selam, unit kerajaan tempatan, dan WWF Malaysia, yang diketuai oleh Pejabat Daerah Semporna, telah bekerjasama untuk merancang dan melaksanakan acara tersebut. Ia melibatkan lebih 2000 orang komuniti setempat di Pulau Mabul.

Semasa ucapan perasmiannya, Pegawai Daerah Semporna, Encik A.M. Ibnu A.K. Baba, menyatakan bahawa beliau berbangga melihat penggiat pelancongan yang berpangkalan di Mabul turut serta bagi menjayakan acara ini. Perkara ini menunjukkan bahawa terdapat perubahan yang berlaku di Pulau Mabul dari segi sikap peniaga terhadap penjagaan alam sekitar secara usaha sama. Beliau terus menambah bahawa pada tahun lepas, hanya dua pengendali yang terlibat, iaitu Sipadan Water Village Resort dan Borneo Divers Mabul Resort.

Cik Nina Ho, Ahli Biologi Marin WWF-Malaysia yang berpangkalan di Semporna, berkata, “Sejak 1 Januari 2005 apabila kerajaan Malaysia mengarahkan semua pengusaha selam dan resort di Pulau Sipadan untuk mengosongkan pulau tersebut, Pulau Mabul telah menjadi tapak tumpuan untuk menubuhkan operasi perniagaan. Tindakan ini, seiring dengan pertambahan penduduk tempatan, telah meningkatkan tekanan ke atas Mabul dan terumbu di sekitarnya, yang terkenal dengan makhluk yang bersaiz kecil, ganjil serta jarang ditemui”.

Tiga hari pertama Minggu Marin Mabul menyerlahkan semangat kerja berpasukan yang sebenar. Segala aktiviti seperti pembersihan pantai dan bawah air, pemindahan batu karang, pendidikan alam sekitar yang menyasarkan pelajar sekolah, serta persembahan tarian kebudayaan telah dianjurkan dan dilaksanakan secara bersama. Sebuah pameran oleh WWF-Malaysia turut diadakan, yang menekankan isu-isu yang mengancam alam sekitar marin, antaranya berkaitan pembangunan yang tidak mampan, aktiviti perikanan yang memusnahkan dan tingkah laku selaman yang tidak bertanggungjawab yang sekiranya tidak ditangani akan memudaratkan setiap orang di pulau ini.

Tanya kami tentang komitmen alam sekitar kami

Sepanjang minggu tersebut, pengusaha pelancongan di pulau ini terus mengadakan acara mereka sendiri, dan antara yang dianjurkan ialah ceramah pemuliharaan oleh para saintis, aktiviti pembersihan dan pemindahan karang. Pengendali ini telah memberi sumbangan besar dengan menyediakan sumber manusia, kemudahan (contohnya, membenarkan penggunaan bot mereka untuk mengangkut sampah yang dikumpul ke tanah besar Semporna) serta sokongan kewangan (untuk hadiah, kemeja-t bagi masyarakat, dan makanan & minuman) yang diperlukan.

Apakah Aktiviti Minggu Marin Mabul?

Pembersihan Pantai dan Bawah Air

Sebanyak 5 tan sampah telah berjaya dikutip pada hari pertama dan kedua Minggu Marin Mabul. Anggota komuniti dan pelancong telah meneroka seluruh kawasan Mabul sambil memakai sarung tangan serta membawa beg sampah yang besar semasa sesi pembersihan pantai, manakala seramai 80 orang penyelam pula membawa beg jaring khas ke dalam air untuk mengutip sampah sarap yang tenggelam di bawah air.

Pendidikan Alam Sekitar

Aktiviti pendidikan alam sekitar ini merangkumi kuiz dan permainan yang menyelitkan mesej pemuliharaan marin khas. Turut dianjurkan satu ceramah tentang 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) di sekolah rendah tempatan, iaitu Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul. Kira-kira 260 orang kanak-kanak tempatan, dan 23 orang pelancong asing mengambil bahagian yang mempamerkan integrasi budaya yang sebenar.

Satu tayangan video pembentangan mengenai pemuliharaan penyu laut oleh sinematografer terkenal, Clay Wiseman juga ditayangkan. Clay, yang turut hadir pada masa itu, telah menerbitkan karya fotografi dan penulisannya dalam Majalah National Geographic.

Pemindahan Karang di Pulau Mabul

Seramai 72 orang penyelam telah diajar oleh Divemaster dari Sipadan Water Village (SWV) mengenai kaedah memindahkan karang. Empat jenis karang (dua jenis karang bercabang, karang besar dan karang kolumnar) telah ditanam di terumbu berhampiran termasuk Paradise Reef dan Old House Reef.

Komitmen Hijau Kami

Seperti yang dinyatakan oleh Alex Ho daripada SWV, pihak kami telah berjaya melakukan pemindahan karang sepanjang 10 tahun yang lalu. Sejak hari pelaksanaannya, pemantauan telah dijalankan pada setiap bulan untuk merekodkan pertumbuhan karang. Kini keputusan menunjukkan purata sebanyak 54% berjaya mandiri (survivorship). Ramai penggiat lain dalam industri ini telah mengikut jejak langkah kami memandangkan kaedah yang kami gunakan adalah menjimatkan kos dan mesra alam.

Persembahan Kebudayaan di Pulau Mabul

Malam yang dipenuhi dengan persembahan kebudayaan telah diadakan pada malam pertama. Pelbagai tarian telah dipersembahkan, merangkumi tarian pahlawan Bajau yang dipersembahkan oleh pasangan bapa dan anak perempuannya, tarian ‘menghiburkan’ oleh kakitangan Sipadan Water Village Resort, dan tarian tradisional oleh pelajar dari SK Pulau Mabul.

Pemeriksaan Kesihatan

Jabatan Kesihatan juga ada menjalankan pemeriksaan kesihatan asas untuk anggota komuniti tempatan. Vitamin secara percuma turut diedarkan semasa acara ini.

↑ Kembali ke atas