Menyelam di Labuan
Labuan ialah syurga menyelam terbaharu di Malaysia
Labuan, yang terletak sejauh 115km di selatan Kota Kinabalu, merupakan destinasi menyelam kapal karam yang sempurna.
Tempah Labuan wreck dives anda
Salah satu daripada tiga wilayah persekutuan di Malaysia, Labuan terletak sejauh 8 km dari pantai Borneo di Malaysia Timur. Namanya berasal daripada perkataan Melayu "pelabuhan".
Labuan terdiri daripada pulau utama Labuan dan 6 pulau yang lebih kecil, membentuk kawasan gabungan seluas kira-kira 92 kilometer persegi. Populasi Labuan adalah sekitar 87,000 orang (2010), yang 76% beragama Islam, 12% beragama Kristian dan 9% beragama Buddha. Bahasa utama ialah bahasa Melayu dan Inggeris, dan juga beberapa loghat peribumi yang tertentu.
Kepulauan ini mengalami iklim tropika dan kebiasaannya panas serta lembap, dengan suhu antara 24°C hingga 34°C. Cuaca menjadi lembap menjelang hujung tahun.
Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) telah ditubuhkan pada bulan Oktober 1990, menjadikannya satu-satunya pusat kewangan luar pesisir (offshore) di Malaysia.
Bilakah masa terbaik untuk melawat Labuan?
Setiap masa adalah waktu yang sesuai untuk melawat Labuan kerana tiada musim tengkujuh sebenar dan ia bebas daripada kejadian puting beliung serta taufan. Namun, sebaiknya elakkan musim hujan pada hujung tahun. Pulau ini juga boleh menjadi agak sibuk semasa cuti sekolah tempatan.
Bagaimana untuk ke sana?
Pulau Labuan boleh dikunjungi melalui udara dan bot. Terdapat perkhidmatan feri setiap hari dari tanah besar (Kampung Menumbok) ke Pulau Labuan. Feri dari Kota Kinabalu mengambil masa tiga jam untuk sampai ke Labuan. Terdapat juga kemungkinan untuk pergi menaiki bot dari Kota Kinabalu ke Brunei melalui Pulau Labuan. Namun, kebanyakan pelancong tiba melalui Lapangan Terbang Labuan. Terdapat penerbangan harian dari Kuala Lumpur (dan juga dari Kota Kinabalu) ke Labuan. Penerbangan dikendalikan oleh Malaysia Airlines, AirAsia dan MASWings.
Big 4 yang menakjubkan
Jika anda menggemari penerokaan kapal karam, Labuan ialah tempatnya. 4 bangkai kapal utama di Teluk Brunei di luar pantai Pulau Labuan adalah antara yang terbaik di Asia Tenggara.
4 bangkai kapal tersebut ialah:
- Blue Water Wreck (kedalaman: 35 meter, tenggelam pada 1981)
- Cement Wreck (kedalaman: 31 meter, tenggelam pada 1980)
- American Wreck (kedalaman: 30 meter, tenggelam pada 1945)
- Australian Wreck (kedalaman: 33 meter, tenggelam pada 1944)
American Wreck
American Wreck mempunyai sejarah yang sarat dan tragis, setelah terbalik semasa era Perang Dunia Kedua dan meragut 9 nyawa.
Aktiviti menyelam di sekitar American Wreck mengisi perasaan para penyelam dengan kesedihan melihat kemusnahan akibat letupan periuk api yang secara harfiah telah meletupkan penyapu ranjau Tentera Laut A.S. keluar dari air dan membahagikannya kepada dua pada 8 Jun 1945.
Perasaan pilu semakin memuncak apabila ada yang terjumpa plak yang menyenaraikan nama 9 anggota tentera yang terkorban. Plak yang direka oleh Dick dan Wayne Shafer itu diletakkan pada bangkai kapal tersebut oleh ahli-ahli Brunei Sub Aqua Diving Club (BSADC) pada tahun 2007.
Perjalanan menyusuri masa menjadi lengkap dengan penampakan klip peluru, peledak kedalaman, botol dawai dan artifak meriam yang masih utuh di sisa runtuhan kapal karam yang berselirat ini.
Australian Wreck
Australian Wreck menyediakan selaman yang sangat beremosi berkat gabungan jarak penglihatan yang kurang daripada 10 meter, pertumbuhan karang yang subur, sisa rangka kapal, pengakhirannya yang tragis dan reputasinya sebagai berhantu.
Pada asalnya ia merupakan kapal pengukus kargo dan penumpang Belanda yang dibina pada tahun 1890, ia telah ditenggelamkan oleh Belanda semasa Perang Dunia Kedua untuk menghalang tentera Jepun daripada menggunakannya. Namun, tentera Jepun yang berdaya usaha berjaya menyelamatkannya, menamakannya semula sebagai 'Imbari Maru' dan menggunakannya sebagai kapal kargo.
Semasa melarikan diri dari Borneo ke Manila, kapal ini telah melanggar periuk api dan karam 23km di barat daya Labuan pada tahun 1944. Pada awalnya dipercayai ia diserang oleh bom dari tentera udara Australia, oleh itu namanya kekal sehingga ke hari ini. 339 orang terkorban termasuk ramai tahanan wanita (wanita penghibur) tatkala tentera Jepun menaiki bot penyelamat.
Sebahagian penyelam percaya kapal karam ini dihantui oleh roh mangsa-mangsa yang terseksa itu. Siapa tahu, penampakan seorang wanita berjubah putih yang berlegar di dalam kapal itu berkemungkinan pari marmar (marbled ray) yang tinggal di situ. Hanya ada satu cara untuk mengetahuinya - selam dan saksikan dengan mata anda sendiri!
Blue Water Wreck
Blue Water Wreck (Mabini Padre) ialah pukat tunda memancing Filipina yang besar, yang telah terbakar dan tenggelam pada tahun 1981 tanpa mengakibatkan sebarang kehilangan nyawa.
Dinamakan bersempena perairan biru jernih tempatnya bersemadi, bangkai kapal ini tidak terjejas teruk oleh kekeruhan air pantai - mendapat manfaat kerana berada paling jauh dari pantai.
Pada cuaca yang baik, jarak penglihatan 40 meter adalah mungkin. Kapal yang masih kekal utuh sepenuhnya dengan tiang layarnya berbaring pada sisinya, dan diserikan lagi dengan pelbagai jenis hidupan marin - menjanjikan pengalaman yang menarik bagi penyelam kapal karam.
Cement Wreck
Daripada empat buah kapal karam Labuan, Cement Wreck adalah yang paling cetek dengan struktur utamanya naik hingga 19m dan kedudukannya menjadikannya yang paling mudah dilalui dan sangat sesuai untuk latihan menyelam kapal karam bagi tahap pemula.
Menawarkan pemandangan bawah air yang menakjubkan dengan separuh bahagian atasnya yang dilitupi oleh taman terumbu karang dan menjadi habitat kepada pelbagai makhluk marin berwarna-warni, Cement Wreck turut menawarkan peluang jarang berlaku untuk melihat kelibat jerung paus bagi para penyelam yang bertuah.
Ia mendapat nama uniknya kerana ia tenggelam ketika mengangkut simen ke Brunei untuk pembinaan istana baharu Sultan. Turut dikenali sebagai kapal karam yang sempurna berikutan kedudukannya yang tegak di dasar laut, bangkai kapal ini sangat indah dengan separuh bahagian atasnya dilitupi oleh taman karang lembut dan keras, span laut dan paku pakis; serta sekumpulan ikan tropika yang kecil.
Tapak selaman baharu ditemui di Vernon Banks di Labuan
Labuan mungkin menjadi syurga bawah air seterusnya untuk penyelam skuba dari seluruh dunia dengan pelbagai tapak selaman unik ditemui, termasuk penemuan terbaharu iaitu tapak selaman 'Vernon Bank'.
Tapak selaman baharu ini, terletak lebih 40 batu nautika di perairan utara Labuan, pertama kali ditemui kira-kira lima tahun lalu oleh seorang jurutera yang bertukar kerjaya menjadi pengendali bot, Ahmad Nasir Othman, 60, yang telah membawa kaki pancing ke sana.
Namun begitu, Clement Lee dan rakan-rakan penyelamnya adalah kumpulan yang pertama kali meneroka terumbu karang yang masih terpelihara ini pada bulan April 2017.
Lee, 66 tahun, yang merupakan anak jati Labuan, merupakan Duta Tourism Malaysia untuk segmen menyelam (2017-2026) dan turut merupakan penyelam bertaraf antarabangsa.
Berdasarkan pemerhatiannya di sana, beliau percaya bahawa tapak selaman itu berpotensi untuk berdiri sama tinggi dengan tapak selaman skuba yang popular di seluruh dunia.
"Tapak selaman baharu ini mempunyai keunikan tersendiri berbanding tapak selaman terkenal antarabangsa yang lain dan ia pastinya tapak yang hebat untuk diterokai," katanya sambil menambah bahawa tapak selaman baharu ini berbeza daripada tapak selaman yang mendapat permintaan tinggi di Pulau Sipadan dan Pulau Mabul di Sabah dari segi spesies marin dan landskap bawah air.
Vernon Bank tercatat di dalam carta laksamana dan penerbitan lama British, serta kawasan tersebut mempunyai beberapa spesies marin yang jarang ditemui seperti ketam porselin, ikan seperti gobi buih dan lintah laut (nudi branch) yang berwarna-warni, serta banyak lagi.
Keunikan Vernon Bank
Pada cuaca yang baik, dengan menaiki bot enjin berkembar 115HP, perjalanan ke Vernon Bank dari jeti marin Labuan mengambil masa lebih kurang satu setengah jam.
"Saya tidak menemui tapak Vernon Bank itu tetapi kami telah mendengarnya beberapa bulan yang lalu. Oleh itu, kami telah merancang untuk menyelam di tapak itu sejak tahun lepas dengan pasukan selaman kami.
"Namun kami terpaksa menangguhkan niat kami berkali-kali disebabkan jadual kami yang padat dan cuaca.
"Saya dan penyelam lain termasuk pengurus besar Co.Co.Dive yang berpangkalan di Miri, Ross Kelly, dan pengurus pusat selaman yang berpangkalan di Labuan Roy Jak Ngau akhirnya tiba di Vernon Bank pada 26 April dan sekali lagi pada 1 Mei."
Vernon Bank seperti atol
Lee menggambarkan terumbu di Vernon Bank sebagai sebuah atol bawah air yang besar, terbahagi kepada tahap yang berbeza dengan kawah sedalam lima meter di tengah-tengahnya. Kumpulan Lee mengambil masa lebih 20 minit untuk berenang dari satu hujung ke hujung yang lain.
Terumbu pinggir di sebelah timur terletak di antara 10m dan 25m di bawah air manakala di hujung barat pula berada pada kedalaman antara 15m dan 50m.
Tahap kedalaman tersebut diberikan oleh gema bunyi kedalaman yang dipasang pada bot nelayan yang membawa kumpulan itu ke tapak tersebut.
Kumpulan itu melakukan enam selaman dalam masa dua hari dan hanya berjaya merangkumi sebahagian kecil daripada tapak Vernon Bank.
Di kawasan terumbu karang yang begitu luas, seperti yang dijangkakan, kumpulan itu dapat melihat ikan marin pelagik, termasuk seekor Pari Manta yang besar di permukaan laut dan kemudian seekor lagi di dalam air.
"Mungkin kerana mereka tidak pernah melihat penyelam sebelum ini, justeru mereka berasa malu dan berenang pergi dengan pantas. Saya tidak berpeluang untuk merakam gambar mereka," kata Lee.
"Oleh kerana Vernon Bank berstruktur seperti atol, saya percaya ini akan menjadi stesen pembersihan (cleaning station) untuk Pari Manta dan penyu.
"Kami juga memerhatikan Tuna yang berenang pantas dan ikan pelagik lain. Saya yakin jerung juga boleh dilihat di sana terutamanya di hujung yang lebih dalam sehingga 70m.
"Saya juga percaya terdapat dinding terumbu dan dengan arus ke atas (up currents) yang membawa nutrien ke perairan cetek, ikan pelagik yang lebih besar seperti jerung, jerung tukul dan pari manta akan berada di sana juga," tambah Lee.
Bagi dunia hidupan yang lebih kecil, lintah laut (nudi branch), ketam porselin, Whip Coral Goby, ikan depu dan ikan kala jengking boleh dilihat bersama-sama kipas laut dan kuda laut pigmi yang banyak.
Terdapat juga satu lagi penemuan menarik di kawasan cetek (8-10m), dengan buih yang berterusan dilihat naik dari dasar laut.
"Ini adalah penemuan yang mengejutkan dan boleh menjadi tarikan sebenar kepada penyelam. Saya tidak dapat memikirkan apa dan mengapa ini berlaku tetapi beberapa rakan ahli geologi saya akan mencarinya.
Selepas membuat enam selaman di Vernon Bank, Lee yakin bahawa lokasi itu berpotensi untuk dibangunkan menjadi tapak selaman yang popular.
"Pandangan saya ialah Vernon Bank ini boleh dibangunkan menjadi 'Layang-Layang 2 mini', yang merupakan atol bawah air yang jauh lebih besar (13km panjang dan tiga km diameter)," akhirinya.
Pulau Layang-Layang terletak kira-kira 300km di barat laut Kota Kinabalu di Sabah, sebuah permata kecil di tengah laut dalam yang dikenali sebagai 'The Jewel of the Borneo Banks'.
Vernon Bank, satu lagi permata di lautan
Seorang jurugambar bawah air antarabangsa dan penyelam skuba Rudy Whitworth berasa kagum dengan apa yang dilihatnya di tapak selaman Vernon Bank.
Rudy yang berpangkalan di Michigan, Amerika Syarikat berkata; "Saya tidak pernah melihat ikan Bubble Goby yang nadir sepanjang 39 tahun saya menyelam di mana-mana tapak selaman di bahagian dunia ini, hanya di Vernon Bank, ia adalah ikan yang cantik dan berwarna-warni.
Sebagai pengasas Seahorse Production, LLC, yang berurusan dengan bidang fotografi bawah air dan persembahan tapak selam kepada para pemain industri pelancongan, Rudy mempunyai pengalaman menyelam yang luas dan telah menyaksikan pelbagai jenis hidupan marin sepanjang kerjayanya.
Antara tapak selaman di seluruh negara yang telah diterokainya ialah Tioman, Miri, Kuching, kapal karam Labuan dan Layang-Layang.
"Saya akan membantu dalam mempromosikan tapak selaman baharu ini kepada rakan selaman saya," kata Rudy.
Kadar harga menyelam di Labuan
Harga bergantung kepada bilangan selaman setiap perjalanan.
Menyelam santai termasuk:
- Jamuan ringan di atas bot & makan tengah hari
- Peralatan menyelam yang lengkap, dengan tangki & tali pinggang pemberat
- Perkhidmatan jurupandu selaman (sama ada Divemaster atau Pengajar)
Menyelam santai tidak termasuk
- Tiket penerbangan atau sebarang pemindahan (transfer) yang tidak dinyatakan
- Penginapan
- Yuran marin yang perlu dibayar kepada pihak berkuasa tempatan
Tanya kami tentang Labuan wreck diving
Nota: Aktiviti selam skuba di Labuan boleh digabungkan dengan lawatan ke Pulau Sipadan, Pulau Mabul dan Pulau Kapalai (lapangan terbang Tawau).